25 Oktober, 2007

Bapa Pengsan bila tahu Nuraisyah peluk Islam


Perjalanan yang ditempuh oleh Nuraisyah Chua Abdullah atau nama asalnya Chua Bee Teen sebagai seorang Muslim sangat perit. Namun Nuraisyah pasrah dan sangat bersyukur dengan apa yang ditempuh selama ini.

Nuraisyah sendiri tidak menyangka dia perlu melalui sekian banyak perubahan. Ketika membuat keputusan untuk memeluk agama Islam sewaktu berusia 19 tahun, terlalu banyak perkara mengenai agama ini yang tidak diketahuinya. Rupa-rupanya untuk menjadi seorang Muslim menuntut banyak pengorbanan.

Semasa kecil, tidak banyak yang diketahui oleh Nuraisyah tentang agama Islam. Anak pasangan pendidik ini sering mengikuti neneknya ke tokong Cina, manakala pada waktu lain mengikuti kelas Kristian yang diadakan secara percuma bersama tiga kakaknya. Tetapi akhirnya kelas ini tidak lagi dihadiri apabila ayahnya memikirkan ia tidak perlu kerana mereka beragama Budda, bukannya nya Kristian. Nuraisyah sering pula mempersoalkan beberapa adat Cina yang dianggap membazir dan
tidak perlu. Misalnya upacara membakar wang kertas neraka, baju kertas, kereta kertas yang dikatakan untuk kegunaan mendiang datuknya di sana. Tetapi apabila hal tersebut terus-menerus dipersoalkan, Nuraisyah ditegur kerana dianggap tidak menghormati adat resam orang-orang Cina.

Ketika berada di tingkatan enam, Nuraisyah merasai perubahan di sekelilingnya apabila rakan-rakan sekelasnya lebih ramai yang bangsa Melayu dan kuat pula pegangan Islam mereka.

"Keadaan sungguh berbeza, apa lagi ketika itu saya tinggal di asrama. Setiap kali masuk waktu sembahyang, saya akan mendengar laungan azan. Apabila bercakap mengenai masa, mereka sering merujuk waktu sembahyang, misalnya selepas Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Saya rasa sungguh janggal, kerana saya tidak tahu langsung mengenai waktu-waktu tersebut," cerita Nuraisyah.

Subjek Sejarah Islam yang diambil, sedikit sebanyak menambah pengetahuannya tentang Islam. Nuraisyah rajin menghafal potongan surah-surah al-Quran, dengan tujuan agar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi dia tidak menyangka guru-guru di sekolahnya menganggap dia berminat dengan agama Islam, sehingga seorang guru wanita berusaha mendekatinya dengan menghadiahi buku-buku agama kepadanya.

Hati Nuraisyah mulai terbuka untuk menerima Islam. Banyak persoalan yang berlegar di kepalanya sebelum ini, ada jawapannya dalam Islam. Atas dorongan guru tersebut dan rakan-rakannya, akhirnya Nuraisyah pun memeluk agama Islam, tanpa pengetahuan keluarganya. Ketika ketiga-tiga kakaknya menganut agama Kristian selepas masing-masing tamat peperiksaan STPM, Nuraisyah melihat reaksi ayahnya yang tidak menyukai perubahan itu. Tetapi akhirnya ayahnya menerima perubahan tersebut dengan alasan agama Kristian tidak banyak berbeza dengan agama Budda.

Sewaktu pertama kali mendengar kata-kata Nuraisyah bahawa dia sudah pun menjadi seorang Muslim, ayahnya menerima berita tersebut bagai halilintar membelah bumi. Ayahnya pengsan, lantas dikejarkan ke hospital. Doktor mengesahkan ayahnya mengalami tekanan darah tinggi. Sejak itu ayahnya menghadapi masalah tidur dan penyakitnya semakin serius dari hari ke hari. Masalah Nuraisyah sentiasa menghantui fikirannya. Semua orang menuding jari - ini semua salah Nuraisyah!

Nuraisyah tetap dengan pendiriannya, meski berhadapan dengan cemuhan keluarga, di samping pelbagai halangan yang terpaksa dilalui dalam mengamalkan disiplin sebagai seorang Muslim. "Dulu, saya sering berkongsi makanan dengan nenek, dan saya mengemas meja selepas makan. Tetapi sekarang tidak boleh lagi. Saya sukar menerangkan kepada mereka mengenai kesucian dan kebersihan dalam Islam. Melihat perubahan ini, seluruh ahli keluarga tidak berpuas hati dengan saya. Rasa sedih dan tertekan menyebabkan saya mencari jalan keluar dengan bekerja sambilan di luar. Saya tahu perkara ini menjejaskan perhubungan dengan mereka, tapi saya bukannya sengaja," kata Nuraisyah.

Nuraisyah pernah diugut oleh ayahnya, semata-mata mahu dia kembali ke agama asal. Antara ugutan yang paling menyedihkan ialah pengumuman yang dibuat di akhbar bahawa dia adalah anak derhaka yang telah menyebabkan ayahnya sengsara. Pergerakan Nuraisyah juga dikawal ketat, sama ada oleh ayahnya sendiri atau penyiasat persendirian yang diupah. Ketika di rumah, hampir setiap masa Nuraisyah dimarahi oleh ayahnya, atau dilontarkan kata-kata sinis terhadapnya. Ternyata ayahnya begitu kecewa.

Keputusan STPM yang memberangsangkan menambah kekecewaan ayahnya, hanya kerana Nuraisyah seorang Muslim. Pemilihan universiti berlatarbelakangkan Islam dianggap masa hadapan yang gelap untuk Nuraisyah. Kini sudah tiada lagi ruang perbincangan dengan ayah.

Melangkah kaki ke universiti, bukanlah tiket untuk Nuraisyah berasa gembira dan terlepas daripada tekanan perasaan yang dialami selama ini. Sikapnya yang suka bertanya menyebabkan dia disisihkan rakan-rakan. Bahasa Melayu yang tidak mendalam juga menyebabkan Nuraisyah sering terpinggir dan keseorangan. Pelbagai cabaran dilalui oleh Nuraisyah ketika di universiti. Kadangkala kata-katanya disalahtafsir, sehingga pernah tersebar khabar angin mengatakan dia hendak murtad. Peristiwa demi peristiwa yang dilalui mengajarnya agar lebih berhati-hati dalam memilih kawan. Semasa sedang berjuang menghabiskan pengajian di peringkat sarjana, Nuraisyah diperkenalkan kepada seorang pemuda oleh salah seorang pensyarahnya. Nuraisyah menerima baik perkenalan itu dan selepas mengadakan solat istikharah, dia yakin pemuda tersebut adalah pilihan yang sesuai untuknya.

Majlis pernikahan dengan Ramzyzan Ramly, pemuda yang berasal dari Kedah, berjalan dengan lancar. Walaupun ia perkahwinan antara dua bangsa, namun kedua-dua belah pihak dapat menyesuaikan diri dan majlis yang amat bererti itu berjalan dalam suasana gilang-gemilang, dengan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Hari ini, Nuraisyah berasa puas dengan kehidupan yang dilaluinya bersama suami dan dua puteri, Nurafiqah Farhani dan Nurqistina Nabilah.

Dalam kesempatan yang ada, Nuraisyah meluahkan pengalaman dalam buku yang ditulisnya bertajuk "Kisah Saya Saudara Baru". Buku yang baru diterbitkan pada awal tahun ini berkisar mengenai pengalamannya mengharungi pahit getir sebagai seorang saudara baru. Pengalaman-pengalaman tersebut disampaikan melalui cerita-cerita pendek yang diharap dapat menjadi teladan kepada sesiapa sahaja. Kini dia bertugas sebagai pensyarah undang-undang di salah sebuah institusi pengajian tinggi dalam negara.

Dipetik dari majalah i, terbitan Krangkraf

Tiada ulasan: